Saturday, July 10, 2010

Pesta Wau Jemputan Antarabangsa 2010

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
KOTA BAHARU, 30 Jun (Bernama) — Kerajaan Kelantan dengan kerjasama Persatuan Pelayang Negeri Kelantan dan Majlis Pelayang Malaysia akan menganjurkan Pesta Wau Jemputan Antarabangsa Kelantan 2010 di pusat peranginan Pantai Irama, Bachok, dekat sini mulai 15 Julai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan berkata 18 kategori pertandingan wau akan diadakan sepanjang pesta selama empat hari itu.

Beliau berkata pesta wau itu diubah lokasinya ke Pantai Irama setelah sebelum ini diadakan di kawasan peranginan Pantai Seri Tujuh, Tumpat sejak ia diperkenalkan 27 tahun lepas.

“Peserta luar negara dari Thailand merupakan peserta jemputan tunggal kerana lokasi yang dipilih itu tidak mampu menampung tempat untuk lebih banyak peserta dari luar negara sebelum ini, seperti Jepun, Korea, Singapura dan Brunei,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan, di sini Rabu.

Takiyuddin berkata pesta wau ini juga bertujuan memperkenalkan cabang kesenian yang sihat kepada generasi muda di samping dapat mempertahankan warisan bangsa yang semakin terhakis oleh peredaran masa.

Selain pertandingan wau ini, para pengunjung turut berpeluang acara sukan dan kesenian rakyat, seperti pertandingan ayam serama, pertandingan dikir barat serta pertandingan mewarna peringkat sekolah.