Wednesday, May 06, 2015

Pertabalan Sultan Perak Ke-35, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”


Istiadat pertabalan Sultan Perak dimulakan dengan Istiadat Meletak Kerja Pertabalan yang akan diadakan di kawasan Panca Persada, Istana Iskandariah Kuala Kangsar. Serentak dengan acara itu, sebanyak 17 das tembakan meriam dan paluan nobat akan diadakan.

Istiadat tabal adat iaitu istiadat pertabalan sebenar akan dijalankan pada Rabu 6 Mei 2015 di Istana Iskandariah Kuala Kangsar dengan dimulakan dengan Istiadat Kawalan Kehormatan.
Serentak dengan istiadat pertabalan di Balairong Seri Istana Iskandariah Kuala Kangsar, tembakan meriam 21 das akan dilakukan.

Istiadat pertabalan itu kemudiannya diikuti dengan lstiadat Tabal Pusaka dan lstiadat Bersiram Tabal yang bakal berlangsung pada malam 7 Mei.

Bermula hari Jumaat 8 Mei 2015, Sultan Nazrin akan mula menziarahi makam-makam Sultan-Sultan Perak terdahulu yang terletak di Kuala Kangsar, Ipoh, Gopeng, Sayong, Manong, Parit, Bota, Lambor Kanan, Pulau Tiga, Kampung Gajah, Kampung Pulau Juar, Pasir Salak, Kampung Bandar Baru, Kampung Teluk Memali, Teluk Intan.

Majlis tahlil, doa selamat dan kenduri arwah akan turut dijalankan.

Kemuncak istiadat pertabalan Sultan Perak ke-35 ialah Istiadat Menziarahi Beting Beras Basah bermula dari Jeti Bagan Datoh.

Istiadat ini dilakukan sebagai simbolik adat signifikan tempat pertama Sultan Muzaffar Shah I (Marhum Tanah Abang 1528-1549), Sultan Perak yang pertama, menjejakkan kaki ketika mula sampai di bumi Perak.

Istiadat pertabalan Sultan Perak ini diadakan selepas kali terakhir diadakan 30 tahun lepas pada 4 Disember 1985.